Sabun dan bedak merupakan dua bahan yang sering digunakan
oleh manusia untuk mencuci dan mewangikan badan. Namun, lain pula halnya
apabila seorang warga emas, Mohd Razali Ishak,63, menjadikan kedua-dua bahan
ini sebagai santapan hariannya.
Bunyinya seperti tidak masuk akal, tapi bagi lelaki yang
berasal dari Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang ini menganggap kedua-dua bahan
tersebut sebagai makanan yang enak. Menariknya lagi, ia menjadi menunya setiap
hari sejak 17 tahun lalu.
Jelas Razali, tabiat peliknya itu bermula selepas dia melihat sebuku sabun mandi di rumahnya. Pada ketika itu, dia amat tertarik apabila melihat bentuk dan bau sabun tersebut. Tanpa memikirkan kesan buruk yang mungkin dihadapinya, Razali terus menggigit beberapa cebisan sabun mandi itu dan terus memakannya.
Selain memakan sabun mandi sebagai juadah harian, warga emas
ini turut menggemari bedak talkum. Percaya atau tidak, lelaki ini mendakwa, dia
mampu menghabiskan dua atau tiga botol bedak dalam kuantiti 100 gram sehari.
Ekoran tabiat peliknya itu, lelaki ini pernah disangka
sebagai seorang yang tidak waras di kalangan jiran dan ahli keluarganya
sendiri. Pada ketika itu, semua orang menganggapnya gila sehinggalah dia mengambil
keputusan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital. Hasil keputusan
ujian yang dijalankan mendapati tahap kesihatan mentalnya baik seperti manusia
normal yang lain.
Soalnya, apakah punca sebenar yang menyebabkan lelaki ini
menjadikan sabun mandi dan bedak sebagai menu hariannya? Jika dilihat pada
logik akal, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh manusia
normal lain. Tambahan pula, banyak lagi
makanan enak dan lazat boleh dimakannya.
Mengulas mengenai persoalan itu, kata Razali, dia sendiri
tidak tahu mengapa boleh berkelakuan sebegitu. Sehingga hari ini, sudah beribu
kali ditanya soalan ini tetapi dia masih belum lagi menemui jawapannya.
Ekoran itu, dia pernah merujuk masalahnya itu kepada
beberapa pengamal perubatan tradisional dan moden. Namun, usaha tersebut
menemui jalan buntu dan tiada penjelasan kukuh yang boleh dikaitkan sebagai
punca tabiat luar biasanya itu.
Pernah satu ketika, isteri dan anak-anaknya cuba
menghentikan tabiatnya itu dengan memasukkan tepung gandum di dalam bekas
bedak. Bagaimanapun, usaha tersebut hanyalah sia-sia kerana Razali begitu arif
membezakan di antara rasa tepung dan bedak. Kata Razali, sabun mandi dan bedak
adalah makanan kegemarannya dan jika sehari tidak menjamahnya dia akan merasa
gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena.
Menurut pensyarah dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik,
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr.
Siti Nur’ Asyura Adznam, dalam kes ini individu tersebut mengalami masalah
gangguan pemakanan (eating disorder) yang dikenali sebagai ‘Pica’- selain pica,
terdapat beberapa lagi kategori gangguan pemakanan yang lain iaitu anoreksia
nervosa, bulimia nervosa dan binge eating disorder.
Jelasnya, Pica merupakan gangguan pemakanan yang melibatkan
pengambilan sesuatu yang bukan makanan (non-nutritive substances) secara
berterusan dalam satu jangka masa sekurang-kurangnya satu bulan pada umur di
mana seseorang itu dapat membezakan antara makanan atau bahan yang tidak
sepatutnya dimakan (biasanya pada usia dua tahun).
Adalah menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak di bawah usia dua
tahun yang sering mengambil apa sahaja benda dan memasukkannya ke dalam mulut
mereka. Namun, sekiranya tingkah laku ini masih berterusan sehingga satu tempoh
masa tertentu, maka individu ini akan di diagnosis sebagai mengalami gangguan
pemakanan Pica.
Kata Dr. Siti Nur’ Asyura lagi, gangguan pemakanan ini bukan
sahaja terbatas kepada memakan bedak atau sabun (seperti kes yang
dibincangkan), malah ada kes-kes yang melibatkan benda lain seperti memakan
pasir, tanah, batu, najis, rambut, plastik, kertas, mentol lampu dan lebih
serius lagi memakan jarum. Kejadian ini sering berlaku dalam kalangan wanita
dan kanak-kanak, terutamanya wanita hamil dan kanak-kanak yang mengalami
kecacatan pertumbuhan seperti autisme.
Pica boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang boleh
memudaratkan kesihatan bergantung kepada jenis bahan yang dimakan.
Antaranya ialah keracunan, jangkitan
parasit (sekiranya individu memakan tanah-tanih),
masalah saluran penghadaman seperti ‘bowel obstruction’ yang boleh menyebabkan
sembelit, jangkitan usus dan seterusnya memerlukan pembedahan, kecederaan atau
kerosakan pada gigi (sekiranya memakan bahan-bahan yang keras seperti batu).
Bagi kes ini, apa yang merisaukan adalah kandungan
bahan-bahan kimia yang terdapat dalam
bedak dan sabun yang boleh menyebabkan keracunan dan ketoksikan. Soalnya, sejauh
manakah badan seseorang manusia mampu bertahan sekiranya mengamalkan pemakanan
sebegini? Kata Dr. Siti Nur’ Asyura, ia bergantung kepada individu terbabit kerana setakat ini tiada
data atau panduan untuk menyatakan seseorang individu itu mampu bertahan.
Katanya lagi, bagi merawat seseorang individu yang mengalami
masalah ini, pertama ia perlu dikaji pada tiga kategori iaitu punca terjadinya Pica,
tahap keseriusan Pica dan komplikasi kesihatan yang dialami oleh seseorang individu tersebut. Sebagai contoh, rawatan
perubatan segera seperti pembedahan adalah salah satu cara terbaik bagi
menangani komplikasi yang dialami oleh
seseorang itu seperti keracunan, jangkitan parasit dan masalah saluran
penghadaman.
Selain itu, rawatan gangguan pemakanan ini juga turut
menggunakan beberapa pendekatan seperti terapi tingkah laku, psiko-sosial dan
juga persekitaran. Justeru, ahli keluarga terdekat memainkan peranan yang amat
penting dalam membantu pesakit bagi menangani masalah gangguan pemakanan ini.
Pesakit juga dinasihatkan menjalani sesi kaunseling bersama pakar psikiatri.
Ujarnya lagi, gangguan pemakanan ini adalah masalah tingkah
laku yang serius. Bagi mengelakkan ia terus berlarutan, seseorang individu yang
mengalaminya hendaklah mendapatkan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan
komplikasi pada kesihatan kita.
Sumber: Majalah Infiniti April 2012
No comments:
Post a Comment