Post Top Ad

30.1.24

PELIK: 17 tahun Makan Sabun & Bedak Setiap Hari



Sabun dan bedak merupakan dua bahan yang sering digunakan oleh manusia untuk mencuci dan mewangikan badan. Namun, lain pula halnya apabila seorang warga emas, Mohd Razali Ishak,63, menjadikan kedua-dua bahan ini sebagai santapan hariannya.  

 

Bunyinya seperti tidak masuk akal, tapi bagi lelaki yang berasal dari Sungai Temau, Kuala Lipis, Pahang ini menganggap kedua-dua bahan tersebut sebagai makanan yang enak. Menariknya lagi, ia menjadi menunya setiap hari sejak 17 tahun lalu.

 

Jelas Razali, tabiat peliknya itu bermula selepas dia melihat  sebuku sabun mandi di rumahnya. Pada ketika itu, dia amat tertarik apabila melihat bentuk dan bau sabun tersebut. Tanpa memikirkan kesan buruk yang mungkin dihadapinya, Razali terus menggigit beberapa cebisan sabun mandi itu dan terus memakannya. 

 

Selain memakan sabun mandi sebagai juadah harian, warga emas ini turut menggemari bedak talkum. Percaya atau tidak, lelaki ini mendakwa, dia mampu menghabiskan dua atau tiga botol bedak dalam kuantiti 100 gram sehari.

 

Ekoran tabiat peliknya itu, lelaki ini pernah disangka sebagai seorang yang tidak waras di kalangan jiran dan ahli keluarganya sendiri. Pada ketika itu, semua orang menganggapnya gila sehinggalah dia mengambil keputusan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan di hospital. Hasil keputusan ujian yang dijalankan mendapati tahap kesihatan mentalnya baik seperti manusia normal yang lain. 

 

Soalnya, apakah punca sebenar yang menyebabkan lelaki ini menjadikan sabun mandi dan bedak sebagai menu hariannya? Jika dilihat pada logik akal, ia adalah satu perbuatan yang tidak pernah dilakukan oleh manusia normal lain. Tambahan pula,  banyak lagi makanan enak dan lazat boleh dimakannya.

 

Mengulas mengenai persoalan itu, kata Razali, dia sendiri tidak tahu mengapa boleh berkelakuan sebegitu. Sehingga hari ini, sudah beribu kali ditanya soalan ini tetapi dia masih belum lagi menemui jawapannya.

 

Ekoran itu, dia pernah merujuk masalahnya itu kepada beberapa pengamal perubatan tradisional dan moden. Namun, usaha tersebut menemui jalan buntu dan tiada penjelasan kukuh yang boleh dikaitkan sebagai punca tabiat luar biasanya itu.      

  

Pernah satu ketika, isteri dan anak-anaknya cuba menghentikan tabiatnya itu dengan memasukkan tepung gandum di dalam bekas bedak. Bagaimanapun, usaha tersebut hanyalah sia-sia kerana Razali begitu arif membezakan di antara rasa tepung dan bedak. Kata Razali, sabun mandi dan bedak adalah makanan kegemarannya dan jika sehari tidak menjamahnya dia akan merasa gelisah seperti ada sesuatu yang tidak kena.

 

Menurut pensyarah dari Jabatan Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Siti Nur’ Asyura Adznam, dalam kes ini individu tersebut mengalami masalah gangguan pemakanan (eating disorder) yang dikenali sebagai ‘Pica’- selain pica, terdapat beberapa lagi kategori gangguan pemakanan yang lain iaitu anoreksia nervosa, bulimia nervosa dan binge eating disorder.

 

Jelasnya, Pica merupakan gangguan pemakanan yang melibatkan pengambilan sesuatu yang bukan makanan (non-nutritive substances) secara berterusan dalam satu jangka masa sekurang-kurangnya satu bulan pada umur di mana seseorang itu dapat membezakan antara makanan atau bahan yang tidak sepatutnya dimakan (biasanya pada usia dua tahun).

 

Adalah menjadi kebiasaan bagi kanak-kanak di bawah usia dua tahun yang sering mengambil apa sahaja benda dan memasukkannya ke dalam mulut mereka. Namun, sekiranya tingkah laku ini masih berterusan sehingga satu tempoh masa tertentu, maka individu ini akan di diagnosis sebagai mengalami gangguan pemakanan Pica.

 

Kata Dr. Siti Nur’ Asyura lagi, gangguan pemakanan ini bukan sahaja terbatas kepada memakan bedak atau sabun (seperti kes yang dibincangkan), malah ada kes-kes yang melibatkan benda lain seperti memakan pasir, tanah, batu, najis, rambut, plastik, kertas, mentol lampu dan lebih serius lagi memakan jarum. Kejadian ini sering berlaku dalam kalangan wanita dan kanak-kanak, terutamanya wanita hamil dan kanak-kanak yang mengalami kecacatan pertumbuhan seperti autisme.

 

Pica boleh menyebabkan pelbagai komplikasi yang boleh memudaratkan kesihatan bergantung kepada jenis bahan yang dimakan. Antaranya  ialah keracunan, jangkitan parasit (sekiranya  individu memakan tanah-tanih), masalah saluran penghadaman seperti ‘bowel obstruction’ yang boleh menyebabkan sembelit, jangkitan usus dan seterusnya memerlukan pembedahan, kecederaan atau kerosakan pada gigi (sekiranya memakan bahan-bahan yang keras seperti batu).

 

Bagi kes ini, apa yang merisaukan adalah kandungan bahan-bahan  kimia yang terdapat dalam bedak dan sabun yang boleh menyebabkan keracunan dan ketoksikan. Soalnya, sejauh manakah badan seseorang manusia mampu bertahan sekiranya mengamalkan pemakanan sebegini? Kata Dr. Siti Nur’ Asyura, ia bergantung kepada  individu terbabit kerana setakat ini tiada data atau panduan untuk menyatakan seseorang individu itu mampu bertahan.

Katanya lagi, bagi merawat seseorang individu yang mengalami masalah ini, pertama ia perlu dikaji pada tiga kategori iaitu punca terjadinya Pica, tahap keseriusan Pica dan komplikasi kesihatan yang dialami oleh seseorang  individu tersebut. Sebagai contoh, rawatan perubatan segera seperti pembedahan adalah salah satu cara terbaik bagi menangani  komplikasi yang dialami oleh seseorang itu seperti keracunan, jangkitan parasit dan masalah saluran penghadaman.

 

Selain itu, rawatan gangguan pemakanan ini juga turut menggunakan beberapa pendekatan seperti terapi tingkah laku, psiko-sosial dan juga persekitaran. Justeru, ahli keluarga terdekat memainkan peranan yang amat penting dalam membantu pesakit bagi menangani masalah gangguan pemakanan ini. Pesakit juga dinasihatkan menjalani sesi kaunseling bersama pakar psikiatri.

 

Ujarnya lagi, gangguan pemakanan ini adalah masalah tingkah laku yang serius. Bagi mengelakkan ia terus berlarutan, seseorang individu yang mengalaminya hendaklah mendapatkan rawatan segera kerana ia boleh menyebabkan komplikasi pada kesihatan kita.  


Sumber: Majalah Infiniti April 2012

January 30, 2024 / by / 0 Comments

No comments:

Post a Comment

Post Top Ad